Fresh from the owner...

24 February 2014

Pertandingan Menulis Cerpen Pendek Anjuran Rafina Mimi Abdullah.

PENCARIAN SEORANG DANIA.



Aku mengenali seorang gadis bernama Dania Asyikin binti Dato’ Khairul Hisyam. Ya! Anak orang yang berduit. Orang yang tidak pernah merasa susah. Punya segala-galanya. Tapi itu kata aku. Bukan kata Dania. Aku  mengenalinya lima tahun yang lalu ketika sama-sama melanjutkan pelajaran di luar negara. Aku pergi dengan hasil kerja keras dan berkat doa ibu bapaku sendiri. Mendapat tajaan setelah keputusan cemerlang berada dalam genggaman. Sementara Dania, pilih saja tempatnya dan pasti keluarganya akan biayai setiap satu daripada keinginannya itu.

Barangkali pandangan pertama aku terhadapnya terlalu negatif lewat lima tahun yang lalu. Skeptikal. Asal namanya anak Dato’, pasti dia mampu memiliki segala-galanya. Tidak perlu berusaha. Untuk apa? Kalau sudah duit keluarganya menggunung tinggi, untuk apa perlu bersusah payah lagi? Habis belajar nanti akan terus diterima bekerja di syarikat milik keluarga sendiri. Tidak ada persaingan. Tidak perlu bersusah payah memikirkan di mana perlu kaki melangkah memohon pekerjaan. Segala-galanya sudah tersedia. Terhidang di hadapan mata.

Arghhh... kejam benar pandangan aku terhadap gadis manis bermata bundar itu! Semua tentang Dania tidak baik. Hanya yang buruk-buruk saja kelihatan sedangkan aku belum betul-betul mengenalinya ketika itu. Tidak pasti sama ada dia meneruskan pelajaran atas sebab usahanya sendiri atau sebaliknya. Sedangkan ibu sentiasa berpesan agar tidak terlalu menaruh syak wasangka terhadap orang lain. Biarlah mereka itu apa pun. Selagi mereka tidak menyentuh urusan hidup aku, untuk apa aku pula yang ingin menyibukkan diri di dalam hidup mereka. Ah, aku ini alpa! Terlupa dan terleka. Belum apa-apa sudah terlebih menilai orang lain.

Atas kesilapan itulah, aku gagahkan diri sendiri bertemu Dania. “Assalamualaikum. Saya Nurul Hajar. Saya rasa bersalah sebab berkata yang bukan-bukan tentang awak.” Itu kata-kata pertama yang aku lontarkan setelah aku melihat dia keseorangan sedang minum. Ketika itu, dia sedang menantikan kedatangan rakan-rakannya barangkali. Tidak pula aku bertanya lanjut.

“Berkata yang bukan-bukan tentang saya? You mean talking behind my back to others?” dia sedikit terpinga-pinga. Mahunya tidak. Tiba-tiba disapa oleh seseorang yang tidak dikenali dan mengatakan telah berkata-kata yang bukan-bukan tentangnya? Gila agaknya gadis ini.

“Eh, tidak!!! Bukan bercakap dengan orang lain. First impression saya terhadap awak. Bila tengok awak, hati saya berkata yang bukan-bukan. Itu tak baik. Saya tak kenal awak tapi saya kata awak yang bukan-bukan,” aku menerangkan. Dania lagi terpinga-pinga. Entah apa yang terlintas dibenak gadis itu. Aku sendiri kurang pasti.

Tapi dia tersenyum. Dan katanya, “First impression itu biasa. Kita memang akan judge orang setiap kali kita tengok seseorang tu. Kalau kita dah kenal, first impression akan jadi first impression sajalah kan?” dan kemudian dia ketawa perlahan. “Belum pernah saya jumpa orang macam awak. Rasa bersalah sebab membuat tanggapan terlalu awal. Small matter je tu. And I like you. Comel.”

Itu perkenalan pertama kami. Apa yang aku fikirkan tentang Dania selama ini tidak semuanya betul. Dia menyambung pelajaran sama seperti aku. Atas usahanya sendiri. Tidak mahu terlalu bergantung dengan apa yang keluarga miliki katanya. Dania Asyikin berperwatakkan sederhana. Mengenalinya lebih dekat dan rapat membuatkan hatiku sekali lagi berkata-kata yang dia sedang mencari ‘sesuatu’. Cuma aku kurang pasti apa yang dicarinya. Ingin bertanya tapi belum sampai masanya lagi. Lagi pula, aku dan dia baru saja berkawan. Takut disalah anggap pula pertanyaan aku tu nanti.

Dalam pada menantikan waktu yang sesuai untuk bertanya, Dania terlebih dahulu memulakan bicara tentang pencariannya terhadap ‘sesuatu’ itu. “Hajar, awak tak rimas ke pakai tudung labuh macam tu? Tak rasa panas?” Ya! Aku gadis bertudung labuh walaupun tidak selabuh orang lain tapi cukup labuh untuk keselesaan aku sendiri. Menutup dada dan bahagian-bahagian tertentu. Aku tidak dipaksa bertudung labuh. Ahli keluarga pun tidaklah memakai tudung labuh seperti aku.

Aku memandang Dania. Dia benar-benar ingin tahu. “Tak. Saya dah biasa. Daripada kecik lagi saya dah bertudung. Bila kita ikhlas, semua benda jadi senang. Masa kecik-kecik dulu, kejap pakai. Kejap bukak. Budak-budak. Tapi bila dah besar, timbul kesedaran sendiri. Sampai bila nak pakai lepas tu bukak. Kesian kat ayah yang kena tanggung dosa kita tu. Adik-beradik lelaki kita lagi. Dah ada suami nanti, suami lagi tanggung. Terbeban mereka. Dosa mereka lagi, dosa kita lagi dia orang nak tanggung.

Kadang-kadang kita lupa. Sebab kita jugalah yang akan heret ayah, adik beradik lelaki... tak pun suami ke neraka sebab apa yang kita buat. Benda yang remeh-remeh macam inilah buat kita lupa dan leka. Astagfirullah!!!” Tiada niat untuk berceramah tapi sekadar menyatakan apa yang aku rasa saja. Dania terdiam.

Eh, aku dah tersalah cakap ke?! “Jangan salah anggap apa yang saya cakap. Itu apa yang saya rasalah. Saya pun bukan 100% baik. Ada jugak kekurangan di sana sini. Saya masih cuba perbaiki setiap kelemahan saya ni. Kadang-kadang kita rasa macam kita ni dah okay. Tapi hakikat sebenarnya tidak. Yang terbaik hanya Allah je. Kenapa awak nak tahu?”
Dania merenung jauh. “Sebab saya selalu rasa hidup saya ni seperti kekurangan sesuatu. Saya tak tahu apa. Orang kata kalau kaya mampu miliki apa saja kan? Tapi tak semua orang rasa macam tu. Duit ada tapi hati kosong pun tak guna jugak kan Hajar?” Persoalan yang dilontarkan membuatkan aku sedar akan apa yang dicarinya. Benarkah?

“Saya dah lama rasa macam ni. Empty. Hidup tak ada makna. Kosong macam lagu Najwa Latif tu,” gelak Dania kedengaran tidak ikhlas. Tapi senyumannya tetap manis. Ini ke apa yang orang kaya akan rasa? Atau hanya segelintirnya saja yang masih mencari-cari sesuatu yang pasti? “Mesti seronokkan menjadi seorang Nurul Hajar?” aku tersentap dengan pertanyaannya. Ligat kepala memikirkan kata-kata yang sesuai untuk dituturkan.

“Menjadi seorang Nurul Hajar sama seronoknya macam menjadi Dania Asyikin. Atas dunia ni kita memang akan sentiasa mencari-cari. Saya pun bukanlah baik sangat Dania. Masih banyak kekurangan. Dania rasa kosong mungkin sebab Dania dah terkeluar daripada landasan yang ditetapkanNYA. Kalau Dania berada right on track, insyaAllah... saya tak rasa Dania akan sesat. Rasa kosong macam sekarang,” itu kata-kata yang mampu aku lafazkan sekarang. Bukan hanya Dania, masih ramai lagi yang tercari-cari erti hidup yang sebenarnya. Masih ramai juga yang menyimpang dan lupa diri. Jika tersesat, kembalilah. Pasti DIA menerimanya.

“Hajar boleh tolong saya tak?” aku memandang Dania. Mencari maksud disebalik kata-katanya. Pertolongan apakah yang Dania mahu? Mampu ke aku menolongnya sedangkan aku sendiri masih perlukan bimbingan?

“Pertolongan apa yang Dania mahu? Saya membantu sekadar yang mampu,” itu kata-kata seorang aku. Jika aku  mampu membantu Dania mencari dirinya sendiri, aku juga membantu diri sendiri agar menjadi lebih baik. Lebih dalam segala-galanya? Aku cuma mahu menjadi hambaNYA yang baik. Itu saja.

“Tolong ajarkan saya solat. Tolong bantu saya dalam pencarian saya ke arah redha Ilahi. Boleh?” permintaan tulus seorang Dania. Dan permintaan tulus itu mengalirkan air jernih di pipi seorang aku. Ya Allah... benarlah Engkau yang menentukan segala-galanya. Jika Engkau mahu, maka jadilah. Jika tidak, maka berada dalam kesesatanlah kami.

Dania Asyikin. Rindu benar aku pada pemilik nama itu. Dania sudah bertemu dengan pembimbingnya yang sejati. Yang akan terus membimbingnya ke jalan yang diredhai. InsyaAllah. Aku tahu itu. Kerana lelaki itu adalah saudaraku.

Terima kasih Nurul Hajar kerana menjadi pembimbing sementara.
Saya sayang awak dunia akhirat.
-Dania Asyikin-





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 comments:

  1. Saudaraku tu maksudnya abang atau adik Nurul Hajar ke atau sepupu? Ceh sibuk je nak tau. Heheh..

    Ok, ringkas je ceritanya. Baruku tahu mencari Dania tu Dania sendiri yg mencari diri dia kan?

    ReplyDelete
  2. Cerita cepat siap namanya ni. Hehe... Takut sedap sgt menulis jdk novel pulak. Hoho...

    ReplyDelete

Peringatan

Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya luahkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan mana-mana pihak kecuali jika saya meletakkan nama pemiliknya.

Sebarang PRINT SCREEN terhadap blog ini adalah dilarang kecuali atas keizinan tuan punya blog.

Pendapat penulis tidak semestinya kekal.

Terima kasih.

Sal Ya
✿ Rumah SalYa ✿ © . Designed by MaiGraphicDesign