Fresh from the owner...

19 December 2011

Cerpen: AKULAH PEREMPUAN ITU... -Final-



Kata-kata yang tepat dan tidak silap mampu menzahirkan apa yang selama ini tidak mampu aku luahkan. Walaupun tidak semuanya terungkap, sekurang-kurangnya dia tahu apa yang tersirat dalam hatiku ini. Apa yang selama ini ku pendam. 

Giliran dia pula mendiamkan diri. Menunggu apa yang bakal aku ucapkan seterusnya barangkali. Benarlah! Bukan semua orang kuat dalam melayari ikatan perkahwinan ini. Zaman berkasih dan berumahtangga memang banyak bezanya. 

Saat melayari ikatan suci inilah segala-galanya akan teruji. Jika tidak sabar, setiap apa yang cuba kita bina pasti berkecai di pertengahan jalan. Sudahnya, bahagia yang dicari, derita yang menjadi galang ganti. 

“Saya tahu, sebab sayalah awak jadi macam ni. Awak jatuh miskin pun sebab saya kan? Walaupun awak tak mengaku, tapi itulah yang selalu awak cakap pada saya setiap kali awak marah. Awak akan ungkit setiap perkara. Awak kata tak ungkit. Tapi hakikatnya?” 

Aku tidak tahu apa yang difikirkan oleh lelaki itu saat ini. Barangkali, kebebasan ini mampu mengembalikan keceriaan dan kebahagiaan di hatinya. Moga-moga ia turut mengembalikan diri lelaki ini yang pernah aku kenali dulu. 

Walaupun berat hatiku untuk melakukannya, aku tidak seharusnya mementingkan diri sendiri. Kasihan dia. Tidak seharusnya dia menanggung beban seberat itu. Merungkaikan ikatan yang terbina antara kami mungkin jalan terbaik untuk keduanya. Sampai bila aku mampu menahan dirinya daripada terus hidup bersama aku? 

Cuma, aku sama sekali tidak menyangka begini kesudahan episod rumahtangga yang kami bina. Mungkin juga dia tidak akan merasakan kesan daripada ikatan yang terlerai in tapi aku? 

Aku juga mengharapkan yang terbaik untuk diriku sendiri. Mampukah aku untuk hidup tanpa dirinya di sisi? Berbaki lagikah kekuatan diri yang tidak pernah ada ini? Aku sendiri keliru dengan keputusan yang bakal aku pilih. 

Ketika ini, apa yang terlintas di fikiranku cuma mahukan dia kembali bahagia dan ceria seperti dulu. Dia tidak memiliki semua itu ketika bersamaku. Untuk apa lagi dia meneruskan lakonan yang akhirnya akan menjerat dirinya sendiri. Biarlah sekali ini aku melakukan sesuatu yang boleh dibanggakan lelaki itu. 

Jika selama ini dia tidak pernah berasa bangga dengan apa yang aku lakukan. Mungkin perkara yang satu ini mampu membuatkan dia tersenyum megah. Akhirnya aku mampu melakukan sesuatu. 

“Saya minta maaf dengan awak sebab saya awak terpaksa tanggung derita. Saya tak pernah fikir semua ni akan jadi pada rumahtangga kita. Selama ni saya fikir saya mampu tangani semua ni. Tapi bila tengok awak, saya tak sampai hati nak teruskan lagi. Awak tak bahagia dengan saya kan? 

“Dah banyak awak korbankan untuk saya. Tapi saya tak pernah bagi awak apa-apa pun in return. Saya cuma mampu bagi janji yang tak tertunai. Saya dah usaha untuk ubah diri saya. Tapi awak tak mampu lagi nak tunggu kan?” Aku menghela nafas panjang. 

“Sampai bila engkau nak aku tunggu? Sampai mati? Lima tahun tak cukup lagi ke? Orang kalau ikhlas nak berubah dia takkan cakap macam-macamlah. Aku dah tak tahulah macam mana lagi nak ajar orang macam engkau ni,” kata-kata itu meledak keluar daripada mulut lelaki itu. 

Diamnya bukan beerti dia sudah reda. Hatinya masih panas. Belum tentu waktu bisa membuatkan hatinya sejuk seperti sediakala. Dia bukanlah seperti lelaki lain. Lelaki ini cukup luarbiasa. 

Kadangkala aku putus asa dengan diri aku sendiri. Akulah wanita yang gagal dalam segala-galanya. Untuk menguruskan diri sendiri saja tidak mampu apatah lagi untuk menguruskan hidup orang lain. 

Mujur juga kami tidak lagi mempunyai cahayamata sendiri wlauapun lima tahun sudah berlalu. Barangkali, Allah tidak mahu memberikan zuriat itu kerana masalah yang melanda rumahtangga kami ini. 

Jika ada orang ketiga pasti sukar untuk aku membuat keputusan. Pasti makin parah perasaan kami kerana terpaksa memendam rasa sekian lama. 

“Nasib baik juga kita tak ada anak. Kalau tak, lagi teruk keadaannya. Entah macam manalah dia akan membesar dengan ibu seperti engkau ni?” Aduh, bisa kata-katanya menusuk ke hati! 

“Dah macam-macam aku bagi pun tapi tak reti-reti jugak nak hargai. Harap belajar je tinggi, ada degree. Tapi dalam otak tu kosong. Tak ada apa. Bodoh!!! Lebih baik aku kahwin dengan orang yang buruk rupa, yang bodoh tapi masih hormat aku sebagai suami.” 

Aku terkedu lagi. Selama ini aku tidak menghormati dia sebagai suamikah? Benarlah! Dia tidak pernah merasakan kebahagiaan sejak ikatan antara kami terjalin. Aku barangkali terlepas pandang dengan sikapnya itu. 

Mungkin teruja untuk hidup bersamanya menjadikan aku sedikit buta dan alpa dengan apa yang telah aku miliki. Hanya aku yang memiliki sedangkan dia mahu melepaskan segala-galanya. 

Aku cuma mengharapkan keputusan yang aku lakukan ini benar dan mampu menyenangkan hatinya. Biarpun hatiku sakit dengan keputusan ini namun aku reda kerana aku tahu Allah Maha Mengetahui segala-galanya. Di tanganNya juga aku berserah. 

Aku bangun untuk mengambil wuduk. Hati ini harus diubati agar tetap kuat dan sabar dalam menangani dugaan kehidupan. Untukmu suami, aku nantikan kepulanganmu untuk kusampaikan berita gembira ini padamu. 

Berbahagialah engkau. Terbanglah engkau mencari pasangan yang mampu menggembirakan hatimu itu. Aku doakan agar kau akan kembali ceria seperti dulu. Bagi diriku, biarlah waktu yang merawat lukanya!




-TAMAT-



pic godek2 kat Google Image

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4 comments:

  1. rajinnya wat sinopsis gini, pastu rajinnya tukar header, semua sweet2!!! ;)

    ReplyDelete
  2. wah bbakat bsar ni. truskn bkarya!

    bila hati trusik sntiasalah ingat Allah

    ReplyDelete
  3. terbaek...terkejut jap baca...rupa-rupanya sinopsis cerita ye hehe

    ReplyDelete

Peringatan

Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya luahkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan mana-mana pihak kecuali jika saya meletakkan nama pemiliknya.

Sebarang PRINT SCREEN terhadap blog ini adalah dilarang kecuali atas keizinan tuan punya blog.

Pendapat penulis tidak semestinya kekal.

Terima kasih.

Sal Ya
✿ Rumah SalYa ✿ © . Designed by MaiGraphicDesign