Fresh from the owner...

12 December 2011

Cerpen: AKULAH PEREMPUAN ITU...

cerpen yang dipublished dalam Jelita bulan Oktober.



Akulah yang bersalah. Menjadi isteri kepada lelaki ini hanya menambahkan beban dibahunya. Menjadi penyebab untuk semua yang berlaku. Tanpa aku, hidupnya belum tentu begini. Kucar-kacir. Tunggang-langgang. 

Hidup lelaki ini ketika zaman bujangnya cukup ceria. Membahagiakan. Walaupun masalah tetap menjengah, dia masih mampu bertahan. Masih mampu mengatasi setiap dugaan dan cabaran. Namun, keadaannya sekarang cukup berbeza. 

Puncanya adalah aku. Isterinya yang dinikahi hampir lima tahun yang lalu. Dia mengharapkan bahagia. Aku juga begitu. Namun bahagia yang dicari, derita juga yang menampilkan diri. Aku sendiri tidak pasti adakah kami benar-benar bahagia sepanjang perkahwinan kami ini? Atau semuanya lakonan belaka? 

Aku keliru. Melihatkan dirinya, aku tahu ada kalanya dia cukup menyesal dengan ikatan yang terbina. Dia ingin lari tapi langkahnya terikat denganku. Kata-kata yang terluah dari bibirnya cukup untuk menyatakan semuanya walaupun ada ketika dia menyatakan dia sendiri tidak sedar dengan pengucapannya itu. 

Namun, aku tahu dia memaksudkan setiap dari kata-katanya itu walaupun tanpa sedar. Tapi mengapa sukar benar untuk aku merungkaikan tali yang mengikat kami?

“Engkau ni tak layak langsung jadi isteri. Semua benda tak boleh buat. Dulu masa elok-elok kerja engkau salahkan orang lain. Padahal semua tu salah engkau sendiri. Itu pun tak sedar diri lagi ke?” pedih kata-katanya menusuk ke gegendang telingaku. 

Tiada lagi panggilan kemesraan mengiringi kata-katanya. Hanya ‘aku’ dan ‘engkau’ menjadi galang ganti. Aku terdiam. Setiap patah perkataan yang terluncur laju dari bibirnya terakam kemas dalam kotak ingatan. 

Namun untuk membalas, aku seperti kehilangan kata-kata. Tidak tahu apa yang harus aku fikirkan. Tidak tahu di mana harus aku mulai. Segala-galanya kosong. Aku seperti hilang di dalam diri sendiri. 

“Engkau tahu tak, sudahlah kahwin ni buat aku papa kedana. Nak jaga hati aku pun susah ke? Engkau ni memang tak ada hati perutlah. Memang engkau ni bawa malang pada aku!” 

Nah! Tersentak aku mendengar kata-katanya itu. Jika dia menyatakan aku ini tidak berhati perut, itu masih boleh kuterima. Namun mengatakan yang aku ini menyebabkan dia papa kedana dan menjadi pembawa nasib malang kepadanya cukup mengguris hati. 

Benar! Sepanjang ikatan perkahwinan ini, aku banyak berbuat salah padanya. Tapi tidak ada setitis kebaikankah di dalam diri aku ini sebagai isterinya? 

Benar! Aku jualah yang menjadi penyebab kepada keadaannya kini. Tiada siapa pun yang salah ketika kami memilih untuk membina ikatan yang lebih kukuh. Mungkin dia yang tersilap meneka siapa aku. Mungkin juga kata hatinya tersilap ketika itu. Lantas, kesilapan itu menjerumuskan dirinya dalam keadaan yang tidak pernah disangkanya akan terjadi. 

Barangkali dia merasakan aku cukup mudah dilentur. Walaupun aku sudah berusaha dan mencuba untuk mengikut acuannya, ada ketikanya aku gagal juga. Padanya, tidak ada istilah gagal. Jika mahu, segalanya pasti boleh. 

Tapi aku bukan seperti dirinya. Aku tidak sesempurna dia. “Kalau aku boleh ubah diri aku, takkan engkau tak boleh? Susah sangat ke? Aku bukan minta benda yang bukan-bukan pun. Aku cuma nak perubahan tu saja. Susah ke?” 

Seperti biasa, jari telunjuknya sudah berada di kepalaku. Seperti biasa juga, aku diam membatu. Jika menyakiti aku mampu melunaskan serta melepaskan rasa marahnya, aku terima. Biarlah aku terus disakiti daripada melihat dia terus derita. Biarlah apa yang aku rasai, hanya aku saja yang tahu. Lebih baik begitu. 

Entah kenapa aku tetap mahu meneruskan ikatan perkahwinan ini sedangkan dia sudah bersedia untuk melepaskan statusnya sebagai suami. 

Apa hebatnya dia sebagai suami sehinggakan aku sanggup mengikat diri sendiri padanya? Aku sendiri tidak mampu untuk merungkai persoalan itu. Namun yang pasti, dia lelaki yang baik sebenarnya. 

Penyayang, penuh perhatian. Apa yang kurang adalah sikap kurang sabarnya itu. Sejak akhir-akhir ini, panas barannya cukup cepat menjengah. Pantang ada yang silap, pasti angin puting beliungnya muncul. Ada ketikanya, aku jadi takut dengan diri lelaki yang kugelar suami itu. 

“Kalau engkau tak buat silap, takkan aku nak marah. Sebab engkau buat silaplah aku jadi macam ni. Sejak kahwin ni, aku dah berubah seratus peratus. Engkau tahu kan? Semuanya sebab engkaulah,” kata-kata itu meluncur laju dari bibir lelaki itu.

to be continued....






pic gidek2 kat Google Image


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

5 comments:

  1. alamak, tak sabo tunggu sambung!

    ReplyDelete
  2. eh menulis ekk..best cerpen nie..nti sy baca smbungannya..:)

    ReplyDelete
  3. Lepas tu? Lepas tu? *chey, beriya aku ni.

    ReplyDelete
  4. alaaa kak, sambung pulak, cepat2. apakah tindakan selanjutnya.

    ReplyDelete

Peringatan

Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya luahkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan mana-mana pihak kecuali jika saya meletakkan nama pemiliknya.

Sebarang PRINT SCREEN terhadap blog ini adalah dilarang kecuali atas keizinan tuan punya blog.

Pendapat penulis tidak semestinya kekal.

Terima kasih.

Sal Ya
✿ Rumah SalYa ✿ © . Designed by MaiGraphicDesign