Fresh from the owner...

11 February 2010

HAJI UNTUK AYAH ~part 4~

"Ada Along balik?” soalan itulah yang ditanyakan kepada Anisah setiap kali dia mendapat peluang untuk pulang ke kampung. Anisah cuma mencebik. Ekspresi wajah yang kurang menyenangkan dan menyatakan segala-galanya walaupun baru satu soalan mengenai Hisyam yang ditanya. Selebihnya, dia tahu sendiri.

“Abang nampak ayah macam susah hati saja. Kenapa Nisa? Ayah ada masalah ke?” Anisah mengeluh perlahan. Si adik merenung tepat ke wajahnya.

“Seminggu lepas, Along ada telefon. Nak pinjam duit dengan ayah. Nak kembangkan bisnes katanya. Abang tahu sajalah ayah. Bukan boleh dengar anak-anak susah sikit. Tak ada duit pun boleh jadi ada duit.” Dia mendengar dengan teliti.

Patutlah wajah ayahnya keruh semacam. Apa nak jadilah dengan Hisyam. Bukan mahu menyenangkan hidup orang tua itu. Menyusahkan lagi adalah. Sakit juga hatinya mendengar cerita Anisah itu.

“Berapa banyak dia nak pinjam?” soalnya dengan perasaan berbaur. Hisyam tidak pernah mahu memikirkan perasaan orang tua sendiri. Kenapa dia tidak meminta dari keluarga mentuanya saja? Kenapa bila mahukan sesuatu, barulah dia ingat akan ayah?

Anisah meneruskan kerja mengemas rumah. Sesekali dia memandang juga wajah si abang. Kenapalah Alongnya tidak sebaik ini. Kenapalah dia dikurniakan dengan abang kandung yang tidak bertimbang rasa seperti itu? Kalau tidak kerana mengenangkan dirinya adik, mahu juga di’sekolah’kan abangnya itu. Geram sungguh dia!

“Nisa...” panggilnya agak kuat bila soalan yang diberi tidak mendapat jawapan yang diinginkan.

“20 ribu,” ringkas jawapan yang diberi namun cukup untuk membuatkan dia tersedak. Terbatuk-batuk dia dibuatnya. Anisah cuma menjeling.

“Banyak tu... mana ayah dapat duit?” Dia mengurut dada. Cuba meredakan batuk yang masih lagi bersisa.

“Duit yang abang, Angah dan Alang bagi tiap-tiap bulan tu ayah simpan. Kata ayah, dah lama sangat dia pasang angan-angan nak pergi Mekah. Jadi dia simpan duit tu untuk belanja dia ke sana nanti. Duit tu lah yang diberi pada Along. Nampak gayanya tak jadilah ayah ke sana.” Daripada nada suaranya, dia tahu si adik cukup kesal dengan tindakan si abang.

Hisyam seolah-olah menyekat hasrat murni ayah untuk menunaikan haji. Mana mungkin Hisyam tidak tahu tentang keinginan ayah itu sedangkan sejak dari mula lagi ayah sudah menyatakan tentang hasratnya yang satu itu.

Perbuatan Hisyam kali ini dirasakan cukup melampau. Seharusnya Hisyam lebih mementingkan perihal ayah daripada perniagaan yang ingin dikembangkannya. Sudah berjerih orang tua itu membesarkannya, ini pula balasan yang diberikan. Senangkanlah hidup orang tua itu sementara dia masih ada.

Ini tidak. Menyusahkan lagi adalah. Semakin dia tahu tentang kebenaran itu, semakin panas rasa di hati. Hisyam sudah hidup senang. Berkahwin dengan anak oarang kaya, memegang jawatan tinggi di syarikat milik bapa mertuanya.

Tidak bolehkah dia menggunakan akalnya yang panjang itu untuk memikirkan seketika tentang ayah? Tentang tanggungjawabnya yang belum selesai? Kenapa mesti disengsarakan lagi hidup orang tua itu? Sudahlah begitu... bila mahukan sesuatu baru Hisyam rajin menjenguk muka ke kampung. Bermanis mulut dengan ayah. Kalau ayah tidak menuruti permintaannya itu, entah bila lagi dia akan pulang ke kampung. Bukannya dia tidak tahu dengan perangai Hisyam itu.

Aduh... sakitnya hati hanya Allah yang tahu! Sudah tidak tertahan rasa marahnya terhadap Hisyam. Bukan Hisyam tidak pernah menghulurkan perbelanjaan buat keluarga di kampung. Tapi dia lebih banyak meminta dari menghulurkannya.

Ayah pun lembut hati sangat. Mujur juga adik-adiknya yang bertiga itu tidak menuruti jejak langkah si abang. Lagi derita hati ayah agaknya. Walaupun ada di antara adik-adiknya yang masih belum bekerja, mereka tidak pernah sekalipun melupakan ayah. Mereka masih sedar tanpa ayah dan ibu, tidak akan wujud mereka di muka bumi ini. Adik-adiknya masih tahu diri. Bersyukur benar dia.

To be continued...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments:

Post a Comment

Peringatan

Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya luahkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan mana-mana pihak kecuali jika saya meletakkan nama pemiliknya.

Sebarang PRINT SCREEN terhadap blog ini adalah dilarang kecuali atas keizinan tuan punya blog.

Pendapat penulis tidak semestinya kekal.

Terima kasih.

Sal Ya
✿ Rumah SalYa ✿ © . Designed by MaiGraphicDesign