Fresh from the owner...

08 February 2010

HAJI UNTUK AYAH ~part 3~

Dia diam. Tapi Hanif masih belum mahu mengalah. “Along ingat, saya takut ke Long? Abang tak pernah ganggu hidup Along pun... tapi Along yang tak puas-puas nak kacau hidup dia. Sudahlah tu Long. Jangan busuk hati sangat dengan orang. Tak ke mana nanti perginya.”

Mungkin kerana kata-kata itulah, maka tangan Hisyam hampir singgah ke muka Hanif. Mujur juga dia cepat bertindak. Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu Hisyam dan adik-beradiknya yang lain bertegang urat. Tidak elok dipandang orang. Dia mahu segala-galanya berlangsung dalam keadaan baik walaupun dia sedar, dia takkan mampu melakukannya.

“Kalau engkau nak marah sekalipun Syam, cukup dengan aku saja. Jangan libatkan adik-adik. Ayah pun tak sewenang-wenangnya memukul kita Hisyam. Apa hak engkau untuk buat dia macam tu?” kata-katanya itu megundang lagi kemarahan Hisyam.

Tapi dia tidak peduli. Ada kalanya, Hisyam perlu juga diajar. Sekalipun bukan dengan kekerasan, cukuplah maksudnya disampaikan dengan kata-kata. Ayah sebenarnya sudah cukup pening dengan masalah mereka berdua. Tambahan pula sejak ibu kembali menyahut seruan ILLAHI, tanggungjawab ayah semakin besar.

Walaupun seboleh mungkin dia cuba merahsiakan apa yang terjadi, tapi ayah tahu juga. Dia cukup simpati dengan ayah. Cukup simpati kerana anak-anak seolah-olah tidak peduli dengan perasaannya. Sudah puas ditegur tapi tetap tiada perubahan. dia sendiri sudah kehabisan akal. Tidak tahu lagi bagaimana mahu melembutkan hati Hisyam.

Apa yang mampu dilakukan sekarang hanya berdoa. Setelah bertungkus-lumus berusaha untuk menamatkan pengajian, dia dan Hisyam sama-sama lulus cemerlang. Sama-sama membina kerjaya walaupun berlainan bidang.

Hisyam sendiri sudah mendirikan mahligai bahagia dengan gadis pujaan hati meskipun mendapat tentangan dari ayah. Tapi Hisyam tetap berkeras dan ayah terpaksa menurut. Gadis pilihan Hisyam anak orang berada. Anak seorang Dato’.

Sejak kecil hidupnya sentiasa dilimpahi kemewahan. Tidak pernah berasa susah. Hisyam mengenalinya pun ketika bekerja di syarikat milik bapa gadis itu. Si gadis yang dipuja-puja tidak betah berada di kampung. Duduk di rumah separuh kayu dan separuh batu, tanpa alat penghawa dingin cukup merimaskan dirinya.

Kerana itu jugalah barangkali Hisyam mengambil keputusan tidak mahu pulang terlalu kerap ke kampung. Jika dia pulang pun, hanya sehari. Paling lama tiga hari. Itu pun tanpa membawa bersama isteri kesayangannya.

Pelbagai alasan yang diberi kala ayah bertanyakan kenapa menantunya tidak dibawa pulang bersama. Walaupun pelbagai alasan yang tercipta, ayah sudah maklum benar. Sengaja orang tua itu menguji si anak. Mahu juga dilihat sejauh mana kejujuran anak itu dengan dirinya.

Ayah sudah cukup masak dengan tingkah-laku si anak. Sejak kecil, itulah yang ditatangnya. Dibesarkan dan diberi pendidikan secukupnya. Masakan ayah tidak kenal hati budi anak sendiri.

To be continued...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments:

Post a Comment

Peringatan

Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya luahkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan mana-mana pihak kecuali jika saya meletakkan nama pemiliknya.

Sebarang PRINT SCREEN terhadap blog ini adalah dilarang kecuali atas keizinan tuan punya blog.

Pendapat penulis tidak semestinya kekal.

Terima kasih.

Sal Ya
✿ Rumah SalYa ✿ © . Designed by MaiGraphicDesign