Fresh from the owner...

06 February 2010

HAJI UNTUK AYAH ~part 2~

Dia dan Hisyam sebaya. Tidak jauh bezanya. Hanya berbeza lima bulan. Hisyam lahir lebih dulu. Di zaman sekolah, mereka sentiasa bersaing. Baik dalam akademik mahupun sukan. Berbanding Hisyam, dia pernah menjadi ketua pengawas sedangkan Hisyam hanya pelajar biasa.

Kebiadapan Hisyam ketika berkata-kata dengannya sudah tidak dapat diubah. Mujur juga mereka tidak berada di ‘U’ yang sama. Jika tidak, entah apa pula kejadiannya. Dia merenung kejauhan.

“Woii... anak pungut! Jangan berlagaklah dengan jawatan kau tu. Kau ingat dengan jadi ketua pengawas, title kau sebagai anak pungut tu akan hilang ke? Jangan mimpilah. Kalau tak disebabkan ayah aku pungut kau, jangan haraplah kau nak dapat jawatan tu. Dah dasar anak pungut tu, anak pungut jugalah.”

Gelak Hisyam seolah-olah bermain di mindanya. Pedihnya hati mendengar tuduhan sebegitu. Bukan sekadar Hisyam, rakan-rakan Hisyam turut sama mentertawakannya. Jika tidak disabarkan diri sendiri, mahu bertumbuk juga mereka. Nanti susahnya mereka juga.

Sudah pasti tali pinggang ayah akan singgah ditubuh. Ayah tidak pernah memilih kasih. Sesiapa saja yang bersalah akan dihukum. Hukumannya sama rata. Tidak ada yang dapat kurang dari orang lain.

Tidak ada guna bertelagah dengan Hisyam. Tidak ke mana perginya nanti. Kerana kata-kata Hisyam jugalah yang menyebabkan Izat, Syukri dan Hasni tidak menghormatinya. Menghormati sebagai orang yang lebih tua jauh sekali. Inikan pula sebagai abang. Mujur juga Hanif dan Anisah tidak begitu.

Entah kenapa, mereka dua beradik lebih rapat dengannya berbanding Hisyam. Malahan Hanif pernah membelanya ketika Hisyam galak menghamburkan kata-kata hinaan untuknya.

“Kenapa Along sakit hati sangat dengan abang? Apa yang abang dah buat dengan Along sampaikan Along buat dia macam ni? Dia kacau hidup Along ke?”

Dia cuba menenangkan Hanif ketika Hisyam dilihatnya semakin menyinga. Marah kerana ada yang mahu membela dirinya itu.

“Yang engkau bela sangat anak pungut tu kenapa? Dia abang engkau ke? Hei, Hanif! Aku ni abang kandung kau tau. Jangan lupa tu. Jangan nak kurang ajar sangat dengan aku. Aku bagi sekali nanti, baru kau nak menyesal.”

To be continued...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments:

Post a Comment

Peringatan

Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya luahkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan mana-mana pihak kecuali jika saya meletakkan nama pemiliknya.

Sebarang PRINT SCREEN terhadap blog ini adalah dilarang kecuali atas keizinan tuan punya blog.

Pendapat penulis tidak semestinya kekal.

Terima kasih.

Sal Ya
✿ Rumah SalYa ✿ © . Designed by MaiGraphicDesign