Fresh from the owner...

29 January 2010

SEGALA-GALANYA UNTUKMU ~finale~

Dia sedar, kesabaran Nia ada batasannya. Melihat dan menemani Nia ketika di labour room lebih menyakinkannya tentang perasaan yang dimiliki terhadap isteri sendiri. Dan dia tahu Nia memiliki perasaan yang sama dengannya. Dia cuma mahu Nia tahu tentang itu.

“Abang menunggu setahun lebih untuk mendekati Nia. Untuk memastikan perasaan abang terhadap Nia suci. Bukan lahir atas dasar simpati. Perasaan abang ketika kita ‘bersama’ juga lahir dari hati abang sendiri. Abang mahukan Nia untuk diri abang. Cucu tu cuma alasan yang abang fikirkan logik diberikan pada Nia.” Irfan gelak perlahan. Dahi Nia dikucup lama. “

Abang tahu abang jahat. Mengambil kesempatan atas keadaan. Tapi abang tak ada pilihan lain. Abang takut Nia menolak. Abang tak sanggup kehilangan Nia.”

Wajah si isteri direnung lembut. Dia merasakan dirinya zalim kerana mendera Nia terlalu lama. Membiarkan Nia terumbang-ambing tanpa haluan. Ah, kejamnya dia!

Nia mengenggam erat tangan si suami. Merasai bahang kasih sayang Irfan meresap ke dalam hati dan jiwanya. Jika pengorbanan yang dilakukan mampu melahirkan perasaan sesuci ini, dia tidak kisah berkorban. Genggaman tangan Nia dibawa ke bibir. Dikucup lama tangan si isteri tanda kasih yang tak bertepi.

“Abang minta diberi peluang kedua untuk membetulkan keadaan dan menebus kesilapan abang pada Nia. Dan abang mahu Nia tahu, Irfan junior lahir atas rasa cinta abang pada Nia. Dia lambang kasih sayang abang.”

Genggaman tangan Nia semakin erat. Mendengar luahan Irfan dan mengetahui mereka mempunyai perasaan yang sama membuatkan senyuman mekar di bibirnya. Di temukan dahinya dan dahi Irfan.

Dibisikkan kata-kata yang selama ini ingin diucapkan kepada lelaki itu. Kata-kata yang selama ini terluah di dalam hati akhirnya terucap jua di bibir. “Dia juga lambang kasih sayang dan cinta suci Nia untuk abang.” Irfan tersenyum mendengar kata-kata Nia.

Ditarik si isteri kembali rapat ke dadanya. Pelukan dikejapkan. Untuk melepaskan Nia terasa sayang. Dikucup ubun-ubun si isteri penuh kasih.

“Terima kasih kerana sanggup bergadai nyawa untuk lahirkan zuriat abang. Tak tahu abang macam mana nak membalas jasa Nia.” Nia senyum. “

Hmmm... abang boleh balasnya.” Irfan merenggangkan pelukan.

“Macam mana?”

“Jangan namakan dia Irfan junior. Nia tak mahu,” katanya perlahan. Irfan tergelak. Mengucup pipi si isteri sekali dengan gelak yang masih bersisa.

Dia kembali merangkul Nia. “Ikut sayanglah. Abang menurut saja.”

Hangatnya kasih sayang yang diberikan Allah kepada mereka tak ternilai rasanya. Cukuplah dengan apa yang terjadi. Biarlah bahagia itu menjadi milik mereka yang abadi. Dibisikkan kata-kata cinta ke telinga si isteri.

Nia ketawa perlahan. Dibalas kata-kata si suami dan Irfan tersenyum lagi.

-THE END-
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments:

Post a Comment

Peringatan

Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya luahkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan mana-mana pihak kecuali jika saya meletakkan nama pemiliknya.

Sebarang PRINT SCREEN terhadap blog ini adalah dilarang kecuali atas keizinan tuan punya blog.

Pendapat penulis tidak semestinya kekal.

Terima kasih.

Sal Ya
✿ Rumah SalYa ✿ © . Designed by MaiGraphicDesign