Fresh from the owner...

25 January 2010

SEGALA-GALANYA UNTUKMU ~part 3~

Mengenangkan perjalanan hidupnya selama menjadi isteri Irfan, mengundang rasa sedih yang tak berkesudahan. Nia membuka mata perlahan. Dia masih sendiri. Dan kekuatan yang cuba dikumpul selama ini runtuh juga akhirnya.

Air hangat terasa mengalir. Menitik jatuh ke atas bantal. Tidak langsung mahu disekanya. Sepanjang dua tahun tiga bulan menjadi isteri lelaki itu, dia masih mampu bertahan. Menerima keadaan sebagai dugaan. Menerima segala perlakuan Irfan tanpa bantahan. Menelan segala kepahitan hidup berumahtangga.

Jika tak kerana ibu bapanya, sudah tentu dia menuntut dilepaskan. Tapi apa kata orang tua mereka nanti? Tidak ada tanda-tanda perbalahan kenapa tiba-tiba ingin bercerai? Tentu menyedihkan. Tapi sejauh manakah kekuatannya untuk terus bertahan?

Ego lelaki itu dirasakan terlalu kebal. Terlalu sukar untuk ditundukkan. Mereka hanya bertemu muka di meja makan. Sesekali menonton bersama. Selebihnya masa dihabiskan dengan berkurung di dalam bilik sendiri. Hubungan jenis apakah itu?

Hanya setelah setahun dua bulan usia perkahwinan mereka, Irfan datang menuntut haknya sebagai suami. Dan dia redha. Itu bukan bermakna dia lemah. Irfan tidak pernah menderanya. Mengangkat tangan ke tubuhnya pun tidak pernah apatah lagi meninggikan suara.

Dan dia menerima kehendak Irfan atas satu alasan. Cucu yang terlalu ingin dimiliki ibu mertuanya malahan ibunya sendiri.

“Aku lakukan bukan sebab aku ingin memuaskan nafsu sendiri. Kita dah tak ada alasan lagi untuk diberikan. Sampai satu ketika, apa yang kita sembunyikan sekarang takkan mampu kita simpan lagi.”

“Aku tak memaksa. Kalau aku lakukan semata-mata didorong oleh nafsu, takkan aku tunggu sampai ke hari ni. Dulu lagi aku dah mampu memiliki engkau secara mutlak kerana sebagai suami aku ada hak ke atas engkau.” Itu kata-kata Irfan yang turut mendorongnya mengikut kemahuan lelaki itu.

Dan hasilnya, apa yang dihajati ibu bapa keduanya tercapai. Dia kini keseorangan. Menangisi nasib sendiri. Tiada Irfan disisi. Anak kecil yang dilahirkan adalah untuk memuaskan hati ibu bapa kedua pihak. Bukan lahir sebagai tanda cinta kasih ibu dan bapanya.

Nia mengeluh lagi. Irfan menemaninya di labour room. Memberi kata semangat. Menggenggam erat tangannya. Mengucup dahinya sebaik saja si kecil lahir ke dunia. Seolah-olah dialah suami paling agung di dunia. Berpura-purakah dia?

Anak ibu! Bagaimana lagi dapat ibu tundukkan keegoaan ayahmu? Bagaimana lagi dapat ibu nyatakan pada ayahmu tentang perasaan sebenar ibu? Ibu sayangkan ayah tapi pernahkah ayahmu peduli tentang perasaan ibu?

Ibu menerima ayahmu seadanya. Baik dan buruknya. Ibu belajar menyayangi ayahmu dan menyintainya dengan rela. Inikah kesudahan pengorbanan ibu anakku? Inikah kesudahan hubungan ayah dan ibu?

To be continued...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments:

Post a Comment

Peringatan

Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya luahkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan mana-mana pihak kecuali jika saya meletakkan nama pemiliknya.

Sebarang PRINT SCREEN terhadap blog ini adalah dilarang kecuali atas keizinan tuan punya blog.

Pendapat penulis tidak semestinya kekal.

Terima kasih.

Sal Ya
✿ Rumah SalYa ✿ © . Designed by MaiGraphicDesign