Fresh from the owner...

18 January 2010

SEGALA-GALANYA UNTUKMU ~part 1~

2nd short story published dalam MW jugak


Dia memejamkan matanya lagi. Sebaik saja sedar dari tidur, tiada sesiapa pun di sisinya termasuklah suaminya sendiri. Segalanya mengundang rasa sayu yang tak bertepi. Dia menarik nafas panjang. Cuba menenangkan perasaannya yang berkecamuk. Sampai bila dia akan terus dan harus bertahan?

Irfan! Dia tak pernah menyangka lelaki itu akan menjadi suaminya kini. Tidak terlintas langsung dalam fikirannya. Irfan punya segalanya. Kekacakkan dan kestabilan dalam hidup. Irfan datang dengan pakej yang cukup lumayan.

Tapi... tak siap menyangka dia yang berjaya mendapat pakej istimewa itu. Istimewakah dia di mata lelaki itu? Dia mengeluh perlahan.

Dia dan Irfan disatukan atas kehendak keluarga. Dalam zaman serba moden ini, ibubapa masih mahu mengatur hidup anak-anak mereka. Bunyinya cukup melucukan tapi itulah hakikat yang dia harus terima. Mangsa keadaankah dia?

Keinginan ibu satu beban buatnya. Tapi apalagi pilihan yang dia ada? Menolak bermakna melukakan hati orang tua itu sedangkan hati ibu tua itu sudah cukup terluka. Tapi kenapa bebannya dia yang harus terima?

“Ibu memang teringin berbesankan Haji Zahari tu. Tapi Nia tahukan Anis dah buat keputusannya sendiri. Hanya Nia yang ibu ada. Kalau Nia pun tak mahu terima pinangan keluarga Haji Zahari tu, tak apalah,” perlahan suara ibu tapi dia faham maksudnya.

Anis! Kakaknya selalu begitu. Sudahnya dia yang harus menerima bebanan yang ditinggalkan. Anis memilih Hisyam, teman sekerjanya. Dan dia yang masih belum berpunya diminta memenuhi hasrat si ibu. Apalagi pilihan yang ada ketika itu?

Bukanlah dia tidak mengenali anak Haji Zahari itu. Tapi itu dulu. Ketika zaman kanak-kanak. Sudah bertahun masa berlalu.

Bila Irfan menyambung pelajaran ke luar negara, keluarga Haji Zahari juga turut berpindah. Entah bila ibu dan bapanya bertemu semula dengan Haji Zahari dan merancang untuk menjodohkan mereka, dia sendiri pun tak tahu. Apa yang dia tahu ibunya terlalu mengharap padanya.

Nia ingat lagi pertemuan pertama dengan Irfan. Sukar untuk digambarkan perasaanya ketika itu.

“Engkau tahukan keluarga nak satukan kita?” soalan lelaki itu dirasakan cukup kasar. Dia angguk perlahan.

“Engkau setuju dengan perkahwinan ni?” Nia hampir tersedak.

Jawapan bagaimana yang sesuai untuk diberikan kepada Irfan dalam situasi sebegitu? Nia sendiri keliru. Lelaki itu sendiri menunjukkan seolah-olah dia tidak berminat dengan perkahwinan yang diaturkan keluarga. Jadi ...??? Soalan Irfan tak dijawabnya.

“Engkau dah ada boyfriend?”

Nia geleng kepala. Malas nak memanjangkan cerita.

“Jadi engkau tak kisahlah kalau kena kahwin dengan aku pun? Tak kisah walau macam mana sekalipun layanan yang engkau akan terima nanti?”

Mendengar soalan lelaki itu membuatkan Nia mengangkat muka. Wajah Irfan direnung dalam-dalam. Mencari kekuatan sebelum menyatakan keputusannya dan membiarkan lelaki itu membuat keputusannya sendiri.

“Sama ada saya kisah ataupun tak, itu bukan persoalannya. Kalau perkahwinan ni mampu mengembirakan hati ibu bapa saya ataupun awak, saya terima. Saya redha dengan segala ketentuan-Nya. Ada hikmah disebalik setiap sesuatu perkara yang berlaku, kan?”

Nia sudah bersedia untuk mengucapkan kata-kata terakhir dan meninggalkan lelaki itu sendirian. Dia sudah cukup tertekan. Berhadapan dengan lelaki ini hanya menambahkan tekanan yang ada.

“Awak buatlah keputusannya. Saya terima dengan hati terbuka. Assalamualaikum.”


To be continued...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments:

Post a Comment

Peringatan

Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya luahkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan mana-mana pihak kecuali jika saya meletakkan nama pemiliknya.

Sebarang PRINT SCREEN terhadap blog ini adalah dilarang kecuali atas keizinan tuan punya blog.

Pendapat penulis tidak semestinya kekal.

Terima kasih.

Sal Ya
✿ Rumah SalYa ✿ © . Designed by MaiGraphicDesign